Pernah atau tidak ada orang yang melakukan kesalahan dan dia sedar akan kesalahannya, namun tiada inisiatif untuk meminta maaf? Perkara begini sering berlaku sama ada di rumah mahupun di tempat awam. Kadang-kala, kita tersinggung air orang di kenduri, terlanggar dan pelbagai ter lagi.
Andai berlaku kesilapan yang tidak disengajakan dan cepat-cepat meminta maaf, insya Allah sejuk hati orang untuk memaafkan.
Perasan atau tidak jika bermain di taman permainan, kadang-kala berlaku adengan tolak menolak. Ada yang terjatuh dan sebagainya. Bila si pelaku hanya berlalu pergi, perasaan tidak senang tetap ada di hati.
Mungkin si pelaku tidak biasa meminta maaf atau mungkin tidak sedar akan kesalahannya. Sedangkan, memberi dan meminta maaf adalah satu perbuatan yang mulia.
Sikap tidak malu meminta maaf ini boleh diajarkan sejak anak-anak masih kecil lagi.
Di bawah ini adalah beberapa tips yang dapat dikongsikan bersama :
Jangan marah
Apabila anak melakukan kesalahan, jangan dimarah. Sebaliknya, terangkan apa yang salah dan juga akibat daripada perbuatan yang dilakukan itu. Terangkan dengan perkataan yang paling mudah untuk membantu memudahkan pemahaman anak.
Ajar sikap bertanggungjawab
Anak perlu diajar bertanggungjawab di atas kesalahannya sendiri. Jika air ditumpahkan, maka anak perlu membantu mengelapnya. Walaupun tidak bersih, sekurang-kurangnya, dia tahu akibat dari perbuatannya sendiri.
Memberikan pujian
Pujian berbentuk positif perlu diberikan. Pujian penting supaya anak tahu bahawa dia telah melakukan perbuatan yang betul dengan meminta maaf dan bertanggungjawab di atas kesalahan sendiri.
Menunjukkan teladan yang baik
Ibubapa perlu meminta maaf kepada anak sekiranya telah melakukan kesalahan, walaupun kecil. Terangkan juga kenapa kita meminta maaf. Kerana, walau apapun, kepimpinan adalah melalui teladan. Masakan ketam hendak mengajar anak ketam berjalan cat walk :)